Wednesday, October 8, 2008

Kenangan akhirnya dihiris


Petang 26 September, saya menonton wayang di GSC MidValley. 4 hari lagi sebelum kedatangan bulan Syawal. Menonton filem pada bulan puasa bukan kerja aneh. Sudah tentu juga kerana saya ingin menyorot pengalaman kerja sinema terkini Azhar Rudin.


Dengan tajuk berkonotasi klasik, Pungguk Rindukan Bulan adalah filem arahan Azhar Rudin yang tetap mengekalkan gaya penceritaan sebelumnya. Tiada pretensi atau paksaan dramatik pada adegannya. Lebih penting, kerja sinemanya ditayangkan buat pertama kali di pawagam komersial. Sudah tentu dalam medium digital.


Menurut laporan wartawan di akhbar harian utama kebangsaan, filem ini dikatakan monotonous. Persepsi individu dan pihak umum memang tidak mungkin seiring penilaiannya. Saya sebenarnya sudah letih dan lemas apabila terlalu kerap terperangkap oleh melodramatik adegan drama-drama di skrin televisyen yang kelihatannya berlebih-lebihan dan palsu. Untuk apa tarikan trend semua itu?


Saya puji filem ini atas sifat kejujurannya. Segala-galanya dibiarkan mengalir secara organik (istilah yang digunakan oleh SM Zakir). Sutradara tidak perlu berpura-pura memberi kuliah siviks yang menjengkelkan kepada penonton, contohnya. Hormatilah intelektualiti para penonton. “Kehidupan sebenar lebih penting daripada filem itu sendiri,” kata Abbas Kiarotsami. Sudah tentu filem ini tidak sekosong sebegitu sahaja.


Sebagaimana filem Min dan Raindogs arahan Ho Yuhang serta filem The Beautiful Washing Machine arahan James Lee, lapisan makna yang diserap oleh Azhar Rudin secara bawah sedar, seolah-olah menjadikan filem ini ingin berbahasa melalui sinema. Bukan disampaikan melalui dialog panjang berjela-jela seperti kebiasaan. Saya tidak ingin mendengar lagi sebarang dialog-dialog membazir apabila menonton filem di pawagam. Cukuplah ia berlaku pada drama-drama di skrin televisyen setiap hari. Filem tidak perlu berterusan memalsukan realiti kehidupan di luar. Tiada gunanya sutaradara menipu khayalak penonton dengan mencipta fantasi indah pada zaman yang serba payah kini.


Azhar Rudin bukan nama pinggiran bagi pencinta filem-filem pendek indie. Majidee salah satu daripada filem pendek arahannya yang masih melekat dalam ingatan saya. Sebagaimana filem pendek Majidee dipersembahkan, demikianlah juga Pungguk Rindukan Bulan tanpa basa-basi dramatik. Barangkali itulah sebab pihak media massa menyimpulkan bahawa filem ini sungguh membosankan. Tiada babak percintaan, air mata atau perlanggaran dashyat kereta-kereta di atas litar. Tiada ketegangan aksi. Filem ini bergerak di atas permukaan rata secara berkias. Memang saya tidak mengingini babak-babak extravaganza.


Dan, di dalam pawagam yang kosong pada hari itu, saya duduk berseorangan dengan kelopak mata diganggu oleh babak penghujung filem. Ini bukan kali pertama saya menonton filem seorang diri di dalam pawagam. Apakah maksud yang ingin disampaikan oleh sutradara? Mesin-mesin jentera di atas bumbung merupakan antagonis utama kepada filem ini. Kejutan sebegitu bagaikan sudah dijangka di dalam hati. Babak ini melengkapkan haluan filem separa autobiografi ini. Dan kepada saya sebagai penonton, pada detik babak itulah, keseluruhan filem ini akan dikenang dalam memori para penonton.


Sedari awal lagi, filem ini bukan sebuah karya fiksyen cerita. Memang digambarkan keadaan sebuah keluarga pada awal pembukaan filem. Si isteri menengking si suami, manakala si anak sedang duduk ketakutan di belakang dinding. Itu lumrah dalam kehidupan berkeluarga di mana-mana sahaja. Belum sampai ke bahagian pertengahan filem, si isteri hilang entah ke mana. Kemudian, sutaradara menyorot pula kesan dalaman psikologikal dua pelakon utamanya yang kesunyian di dalam sebuah flat sempit.


Masing-masing menangung rindu dalam diam. Si anak tertunggu-tunggukan kepulangan emaknya, demikian pula si suami tidak dapat menghindarkan raut wajah yang berselirat perasaan rindu akan isterinya. Dua watak ini berhubungan hanya dari luar. Kerana kedua-duanya tidak tahu bagaimana menzahirkan perasaan sendiri. Sunyi dan tertekan kerana kehilangan insan tersayang, yang kemudian merenggang kedua-duanya pada dua jurang dunia. Sebahagian besar filem ini merakam kehidupan harian si anak yang meningkat remaja. Kebebasan, peringkat awal mengenali seksualiti, manakala si ayah asyik dengan aktiviti pergi memancing ikan.


Pengumuman projek jambatan bengkok menghubung negara Malaysia dan Singapura di skrin televisyen, membawa maksud tersendiri untuk mendokong pengisian dalaman filem tersebut. Kepada saya, itulah lapisan-lapisan makna yang mahu disampaikan oleh sutradaranya. Tiada sesiapa dapat melawan kehendak pembangunan. “Singapura tu, nampak aje dekat. Tapi jauh,” kata salah seorang pelakon pada adegan di atas perahu ketika memancing waktu malam. Sungguh nostalgik gemanya jika dialog pendek itu direnungi. Saya mengaitkan isu pemisahan Singapura itu ada hubungan emosi dengan si isteri yang menghilang tanpa sebarang pesan. Simbolik kepada bulan yang dirindui oleh pungguk. Sesuatu yang sukar untuk dikembalikan semula.


Demikianlah filem ini diakhiri dengan aliran emosi yang barangkali sengaja ditunjukkan oleh sutradara, secara bawah sedar. Lihatlah sahaja bagaimana jentera-jentera di atas bangunan flat sedang memecah dan merobohkan kediaman para pelakon filem ini dirakamkan dari bawah. Itulah kemuncak adegan drastik pilihan sutradara paling menyentuh hati. Bayangkan betapa banyaknya kehidupan dan kenangan di situ terpaksa dirobohkan demi meneruskan urbanisasi negara. Apa daya manusia?


Amir Muhammad bagi pihak penerbit filem Pungguk Rindukan Bulan, menjelaskan kepada wartawan akhbar Berita Harian, bahawa filem tersebut sebenarnya adalah satu dedikasi kepada penduduk yang pernah menghuni flat lama Bukit Cagar di Johor Bahru yang kini sudah dirobohkan. Sudah tentu ada yang akan pening kepala mengaitkan tajuk filem ini dengan apa yang berlaku apabila kamera merakam sudut-sudut bangunan flat dari kaca mata seorang anak kecil sebelum akhirnya flat kediaman itu dirobohkan. Sebelum akhirnya kenangan dihiris buat selama-lamanya.

5 comments:

rahimin idris said...

VCD dah ada ke?

aku malas nak sebut wartawan mana. tapi satu akhbar tu, kalau filem2 macam ni, memang selalu depa kondem kan. kalau ada drift2 ok pulak!

JHaZKiTaRo said...

salam syawal dari bumi Dublin, Ireland.. jemput2lah singgah ke blog hamba.. :)

roslan jomel said...

Min, vcd nya aku tak tau lagi. Tapi kalau rajin, aku akan bergelandangan ke silverfish bookstore. Kat sana depa jual dvd atau vcd filem2 kontot dari pengarah muda berbakat. Cuma vcd blue aje depa tak jual.


Jhazkitaro, puh nama! Wah! Seronoknya hang pi belajaq kat Ireland tu..

Ajami Hashim said...

nice review bro! ;-)

roslan jomel said...

Thank Ajami 4 coming. Cewah speaking London la pulak!

Tahniah kerana dah berjaya menghasilkan filem kontot. SMS ya, tajuknya? Ada cadangan nak menjadikannya dalam bentuk dvd?

Selepas ni, kena buat filem panjang untuk tayangan kat pawagam. Mana tau dapat award masa festival filem Malaysia tahun depan.