Saya baharu teringat tentang sebuah DVD filem yang berulang kali ditonton kebelakangan ini. Better Things tajuk filem dan Duane Hopkin nama pengarahnya. Filem keluaran negara England ini berbentuk multi-naratif dan lebih bersifat tematik. Filem debut Duane Hopkin yang sebelum ini terlebih dahulu menghasilkan beberapa buah filem pendek, dengan penuh impresif telah menambat perhatian pada Festival Filem Cannes tahun lepas. Apakah filem Better Things menyenangkan penonton?
Filem ini seperti jeritan batin. Terseksa dan bergemuruh ke dalam. Bagaikan himpunan beberapa buah filem pendek yang dicantum, adegan-adegan untuk filem ini menggambarkan kerusuhan manusia dengan kamera yang merakam alam fauna yang serba malap. Sebuah kawasan pendesaan England yang sunyi sepi. Sudah tentu gabungan sinematografi sebegini akan menekan hati dan perasaan. Babak-babaknya disusun berselang-seli dari suatu watak ke suatu watak. Kadang-kadang menjurus jauh ke dalam krisis dalaman perwatakan dan tidak kepada penceritaan. Maka, latar belakangnya sangat minimalis dengan subplot saling bergandingan sehingga ke penghujung filem.
Tiada peran utama kerana setiap watak-wataknya bercerita melalui emosi tertentu. Gail, gadis muda yang hidup terperosok di dalam bilik. Malah buku yang dibacanya daripada melangkah keluar rumah. Dunia luar terlalu menyeksakan kepada Gail. Ini dapat dilihat dari pengakuan Gail kepada seorang psikitiari yang datang mengunjungi rumahnya untuk sesi kaunseling. Kelak, di hujung filem ini, baharulah dia memberanikan diri memijak tanah di luar rumah. “Dunia di luar sangat indah dan berwarna-warni” kata Nan, seorang wanita tua yang kemudian meninggal dunia.
Kematian Tess kerana penggunaaan heroin secara berlebihan benar-benar menghukum Rob. Tess sendiri adalah teman wanita kepada Rob. Semasa upacara kematian Tess di dalam sebuah gereja, Rob kelihatan mengintai di balik pintu sedang memendam tangisan dan perasaan bersalah, tidak berani menghadapi kenyataan atau untuk berhadapan dengan ibu Tess. Ini disebabkan Rob sendiri yang menjadi punca kematian Tess. Dengan menyuntik heroin ke lengan Tess. Dan hidup Rob sesudah itu terus-menerus menyuntik heroin ke lengannya. Sudah terlalu kelabu dunia untuk Rob memulihkan ketagihannya. Air muka murung menanggung beban atas kematian teman wanitanya. Mengunjungi pusat kaunseling yang menyediakan program metadhone tidak menunjukkan kekuatan Rob untuk berpisah jauh dengan heroin. Di hujung filem ini, setelah menyuntik jarum ke lengan sambil berbaring di atas timbunan jerami, apakah Rob bertekad membunuh diri untuk bersama-sama dengan Tess?
Demikianlah juga dengan watak bernama Larry yang berkrisis dengan teman wanitanya. Seksualiti, kekosongan jiwa dan kekecewaan bergeseran pada anak-anak muda. Dan heroin, jika pun boleh dijadikan alat ilusi untuk melarikan diri dari realiti kehidupan, dunia tetap begitu juga keesokan hari.
Di celah-celah watak anak muda yang hidup diresapi heroin, muncul beberapa kali babak watak pasangan tua dengan sentimen ingatan kisah cinta silam. Filem dengan suasana desolated ini semakin ditekan dengan watak seorang lelaki tua yang diburu ingatan kisah cintanya pada masa silam. Watak lelaki tua yang baharu keluar dari hospital itu seperti terkesan dengan keakraban seorang lagi pesakit wanita tua di sebelah biliknya. Demikian sesampai di rumah, hubungan lelaki tua itu dengan isterinya terganggu seketika. Lihat bagaimana hanyutan emosi lelaki tua itu berdiri di ruang tamu ketika mendengar sebuah lagu lama yang sentimental Please Stay dari piring hitam.
Kegelisahan beberapa watak anak muda menjalani hidup yang memang sebenarnya bukan mudah dan bawaan emosi bersalah seorang watak tua, menyebabkan filem ini tidak menawarkan kesimpulan. Seolah-olah pembikinan filem ini memang dirancang untuk dibiarkan tidak berkesudahan pada bahagian penutupnya. Bukan sahaja tajuk filem bertentangan, watak-wataknya dibiar hidup tanpa kebahagiaan.
Tiupan angin ke pokok, kesunyian daerah Costwold yang menjadi latar untuk filem dan deraan psikologikal watak-watak utama, demikianlah filem ini terbina secara sinematografi. Tetapi filem ini bukan berkisar tentang penyalahgunaan dadah, ia lebih daripada itu. Psikologikal yang dibendung kemuraman disinari kekuatan semula. Lambat-laun, setelah kematian Nan, Gail yang hidup berlindung di dalam bilik sebelum ini, mula memberanikan diri keluar dari rumah dengan penuh tekad dan harapan, di mana rumput-rumput hijau membentang sebegitu indah menyambutnya.
“Nothing.
Nothing.
This is real life.
And the real life was difficult.”
Demikian suara Gail membaca petikan dari sebuah buku di dalam bilik, sebagaimana yang ditunjukkan pada adegan pembukaan filem ini. Namun, dunia tidak sepenuhnya menyeksa dan alam yang berwarna-warni memerlukan manusia lebih kuat untuk meneruskan hidup.
Thursday, October 1, 2009
Petang di Hati
Posted by roslan jomel at 12:36 PM 1 comments
Sunday, August 16, 2009
Wednesday, August 5, 2009
Larut
Kelazimannya semasa berlangsungnya sebarang majlis, beberapa buah meja jualan buku pasti kelihatan di luar Dewan Seminar. Saya tidak bermaksud untuk menghadiri majlis yang sedang berlangsung di dalam Dewan Seminar pada hari tersebut. Kod pakaian Saya terlalu santai di samping sudah terlalu lewat. Saya malah mengirim teks pesanan ringkas kepada sahabat Saya, Naimisa Yusuf, mengajaknya untuk turut serta menghadiri sebuah seminar penghayatan karya SN A. Samad Said pada 8 Ogos sabtu depan. Barangkali acara sebegitu yang berkaitan dengan kesusasteraan, lebih selesa kepada Saya.
Ketika acara Seminar Pemikiran Syed Hussein Al-Attas semalam, Saya menegur sdr Jaafar Haji Hamdan yang membelek-belek sebuah buku, bukan genre fiksyen. Dengan tangan masih memegang sebuah buku dan tersenyum hingga sepasang matanya mengecil, dia menyatakan bahawa ingin meningkatkan pengetahuan intelek, sudah tentu untuk penulisan artikel sasteranya nanti. Saya tidak singgah ke dalam Dewan Seminar mahu pun membeli buku-buku yang hampir kesemuanya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu Indonesia. Mata Saya fokus mencari sekiranya ada buku-buku bergenre fiksyen. Saya sepatutnya sedar, acara yang berlangsung di dalam Dewan Seminar menjurus kepada bidang pemikiran intelektual.
Beberapa buah buku berbentuk falsafah pemikiran karya Betrand Russel, Hegel, Cak Nur malah Benedict Anderson dibentangkan di atas meja. Sememangnya Saya tergoda dengan pemandangan buku-buku bernuansa pemikiran sebegitu. Frasa Islam Liberal sering dirujuk kepada negara Indonesia hingga Saya sendiri pernah membaca salah sebuah daripada buku tulisan Cak Nur. Harus Saya akui bahawa kecenderungan Saya lebih kepada genre fiksyen. Membaca tulisan bernuansa politik, falsafah, sejarah malah pelbagai displin ilmu, sudah tentu ada kegunaannya kepada penulis fiksyen itu sendiri. Buat masa ini, Saya mengetepikan dahulu buku-buku pemikiran sebegitu. Dan di Malaysia, Faris A. Noor kerap menulis nama tokoh intelektual Islam itu di dalam buku Di Balik Malaysia yang menjadi bacaan non fiksyen Saya sekiranya Saya bosan untuk berfiksyen.
Saya fikir sudah tentu buku-buku di atas meja itu diangkut dari toko buku di tingkat dua Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Dua buah buku tulisan Karen Amstrong turut dijual. Beberapa tahun lalu, salah sebuah buku tulisan Karen Amstrong yang menimbulkan keributan di kalangan para agamawan Malaysia, dilarangkan penjualannya di sini walaupun Karen Amstrong pernah hadir di Malaysia menyampaikan teks ucapan. Aneh sungguh Malaysia. Seolah-olah Malaysia belum lagi bersedia menghadapi era pascamoden. Saya teringat sebuah wawancara majalah Tempo (isu Ogos 2009) dengan Amina Wadud, betapa Indonesia, sebuah negara Islam, amat terbuka, begitu progresif menerbitkan buku-buku yang dilarang di sesebuah negara.
Saya tinggalkan meja buku dan ruang legar di luar Dewan Seminar. Saya hanya ingin ke PDM untuk memulangkan dua buah buku cerpen yang dipinjam. Baharulah kini Saya menjumpai sebuah buku tulisan J.M.G. Le Clezio di rak buku PDM. Buku cerpen itu bertajuk The Round & Other Cold Hard Facts. Buku ini memuatkan 11 buah cerpen tulisan sasterawan Perancis yang baharu sahaja mendapat penghargaan Hadiah Nobel tahun lepas. Sehingga kini, Saya belum lagi menemui novel awalnya bertajuk The Interrogation yang dikaitkan dengan gaya penulisan Albert Camus sama ada di Kinokuniya atau MPH Bookstore. Dan sebuah lagi, entah mengapa, Saya berasa teringin kembali untuk mengulang baca sebuah novel pendek bertajuk The Story of Shipwrecked Sailor tulisan Gabriel Garcia Marquez. Novel pendek ini bercerita secara psikologikal perjuangan seorang pekerja kapal yang terlempar dari kapalnya, bersendirian melangsungkan hidup dengan sisa-sisa hayat di atas perahu di tengah lautan luas. Sekurang-kurang tidak jemu dibaca apalagi ditulis oleh Gabreil Garcia Marquez dengan peranti magisnya. Sangat berguna kepada penulis sebagai rujukan untuk membina perwatakan sesebuah watak solo untuk genre fiksyen.

Sebuah buku cerpen tulisan William Trevor bertajuk Cheating at Canasta yang Saya beli di Borders Time Square belum lagi dibaca. William Trevor merupakan sasterawan besar negara Ireland. Ini kerana apabila Saya berada malah larut di dalam teks fikyen tulisan Haruki Murakami, Saya seboleh-bolehnya tidak mahu menyentuh buku-buku lain yang berbeza teknik penulisannya. Dan alangkah leganya ketika asyik membaca sebuah buku fiksyen sambil menghirup segelas teh tarik, terasa lepas jauh daripada hiruk-pikuk suasana politik di sana-sini dalam kehidupan harian.
Posted by roslan jomel at 4:08 PM 2 comments
